Aku bukan Mat Rempit!

Panas tentang perhimpunan tahunan pencinta-pencinta motorsikal RXZ di Kuala Terengganu yang baru saja berlalu masih ada. Ia memberikan aku idea untuk menulis sesuatu mengenai aku dan motorsikal. 
Apabila bercerita tentang seseorang yang sinonim dengan penggunaan motorsikal sehari-hari atau sebagai penunggang motorsikal, antara ayat yang sering didengari ialah "dia ni mat rempit ni..."
"Mat rempit" adalah slanga anak muda yang merujuk kepada penunggang motorsikal berkuasa rendah yang membuat jenayah jalanraya contohnya seperti lumba haram, menunggang motorsikal secara bahaya, membawa motorsikal melebihi had laju, berkumpul di tempat-tempat tertentu sambil membuat bising, atau melakukan aksi bahaya. Betapa meluasnya penggunaan "Mat Rempit" ini hinggakan telah dimasukkan ke dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford (OED), yang meletakkan "rempit" sebagai seorang lelaki (kebiasaannya usia muda) yang terlibat dalam perlumbaan haram motorsikal di jalanan dan membuat aksi berbahaya. Secara slanga atau secara bahasa kamus, "rempit" tetap berkisar tentang kebiadaban seorang penunggang motorsikal. Jadi, aku bukan mat rempit!
Ya, aku mula pandai menunggang motorsikal seawal usia sekolah menengah. Aku dari keluarga sederhana. Abah memang pastikan semua anaknya belajar dan mendapat lesen motorsikal sebaik cukup syarat umur, kerana pada Abah senang untuk "hidup sendiri", ibarat ia asas untuk mudah ke sana-sini bagi permulaan kehidupan.
Apa yang Abah sarankan itu betul. Apabila aku menyambung pengajian dan bekerja, menunggang motorsikal memang keperluan utama aku. Dalam permulaan hidup sendiri, penting untuk aku jaga bajet dan merencanakan pemdapatan dan keperluan secara bijak.
Bermulanya aku membawa motorsikal secara jarak jauh ialah sebaik tutupnya operasi Hentian Puduraya. Ketika itu aku masih bergelar seorang pelajar. Tutupnya Hentian Puduraya bermaksud aku perlu ke Hentian Duta atau Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) untuk mendapatkan bas pulang ke kampung. Untuk ke Hentian Duta agak memakan modal kerana kurang kenderaan awam ke situ, hanya dengan capaian teksi. Untuk ke TBS pula perlu menukar tren di Masjid Jamek. Aku seorang OKU fizikal, jadi bertukar-tukar tren sebegitu agak renyah untuk aku. Manakan belum tentu ada tempat duduknya lagi. 
Oktober 2015, aku ada rancangan untuk pulang ke kampung. Aku ke Hentian Duta untuk beli tiket pulang ke kampung keesokan harinya namun entah mengapa hati berat untuk membeli tiket walaupun aku telah dari kaunter ke kaunter. Aku terus pulang. Keesokannya paginya aku ke Hentian Duta lagi. Kali ini aku siap membawa beg untuk pulang ke kampung, sebab sememangnya aku akan pulang ke kampung hari itu, namun berlaku perkara yang sama seperti hari sebelumnya. Walaupun aku telah ke kaunter tiket, tetap hati aku masih berat untuk membeli tiket. Lalu aku kembali ke motor. Beg dah ada, apa lagi... hidupkan enjin motor, mulakan perjalanan ke arah kampung. Mungkin dengan keadaan teruja untuk pulang ke kampung, dengan pertama kalinya pulak menggunakan motorsikal, Alhamdulillah saya tiba ke kampung halaman. Itulah kisah bermulanya perjalanan jarak jauh saya bermotosikal; Setiawangsa-Kulim, menggunakan motorsikal Lagenda SRL 110, dengan jarak perjalanan 352KM, mengambil masa 4 jam. Cuma...  yang kali pertama kali itu sajalah yang mengambil masa 4 jam. Perjalanan-perjalanan selepasnya untuk jarak yang sama semuanya melebihi 4 jam, kerana lebih santai dan menikmati alam.
Dari percubaan, membawa kepada keselesaan, menjadi rutin, dan akhirnya membawa kepada imej. Ke sana ke sini menghadiri program-program OKU, saya menunggang motorsikal. Walaupun sebenarnya ia merupakan keperluan saya, ramai yang menganggap saya sebagai "rider tegar", yang bunyinya seolah-olah saya seorang yang amat meminati bidang permotoran. Sehinggakan apabila saya menghadiri sesuatu program yang terdapat peserta yang pernah bersama saya dalam program sebelumnya, saya sering diperkenalkan sebagai seorang rider. 
Disember 2022, genap umur saya 40 tahun. Owh, lupa saya beritahu, saya sebenarnya seorang yang amat obses dengan angka 2. Jadi pada tahun 2022, saya berazam untuk cuba membuat jelajah motorsikal secara solo di Semenanjung Malaysia. Alhamdulillah percubaan saya berjaya. Sebenarnya saya tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk dapat mencapai impian tersebut kerana saya tidak pasti samada Mak dan Abah saya akan memberikan keizinan. Banyak faktor yang boleh menyebabkan Mak dan Abah untuk tidak memberikan keizinan, antaranya saya seorang perempuan, akan mengembara secara solo, untuk tempoh yang lama, dan tidak mempunyai kenalan di tempat-tempat persinggahan. Saya amat bersedia seandainya saya tidak mendapat keizinan walaupun saya telah bersedia dengan jadual yang teliti, termasuk dari segi bajet, lokasi, tempat persinggahan, dan pelbagai lagi. ALLAH ssebaik-baik PERANCANG. Dalam keadaaan saya cuak sewaktu meminta izin, tidak sangka saya dapat jawapan "ya"! Ma Sya ALLAH! Hanya ALLAH yang tahu perasaan saya ketika itu. Rasa macam nak lompat bintang! Jawapan itulah hadiah terbaik untuk hari lahir saya pada tahun itu, 2022-angka kegemaran saya. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengembaraan saya menjelajah Semenanjung Malaysia dalam tempoh 42 hari-sebagaimana jadual. Alhamdulillah, saya merdeka menjelajah Semenanjung Malaysia yang merdeka.  
5 tahun sebelumnya iaitu pada 2017, saya telah menjadi mangsa sabotaj seseorang yang menyebabkan saya terlibat dalam kemalangan jalanraya di antara motorsikal dan treler. Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami patah tulang pada 6 bahagian di kaki dan tangan. Dua tahun saya terdampar di atas katil kerana belum dapat berjalan, dan dalam tempoh pemulihan. Secara kebetulan pulak saya mula berjalan di saat bermulanya musim COVID 19. Dengan tempoh pemulihan saya, bersambung dengan tempoh PKP yang ada dan tiada dalam tempoh sekitar 2 tahun, menjadikan tempoh saya "tidak keluar rumah" sekitar 4 tahun. Mungkin itu ada antara yang membawa kepada idea untuk mengembara  Semenanjung Malaysia. 
Walaupun saya telah biasa bermotosikal untuk jarak jauh, kemalangan tersebut menuntut saya kembali belajar menunggang motorsikal, sebagaimana saya juga perlu kembali belajar menulis bermula dengan huruf A. Dapat kembali menulis adalah satu kemerdekaan untuk saya. Dapat menunggang motorsikal adalah satu kemerdekaan untuk saya. Dapat kembali belajar adalah satu kemerdekaan untuk saya. 
Ada banyak juga pihak yang seakan tidak setuju untuk saya kembali membawa motorsikal dengan mengatakan ia bahaya. Pada saya bahaya tidak mengenal penunggang motorsikal, pemandu kereta, penunggang bas, atau sesiapa saja yang berada atau tidak berada di jalanrya. Betapa pentingnya kita memerdekakan diri dari fikiran-fikiran negatif, tuduhan-tuduhan tidak berasas, ataupun kata-kata yang tidak membantu dalam kita membina keyakinan diri. 
Menunggang motorsikal ni sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu terapi. Menunggang santai sambil melihat kejadian alam, dan mengaitkannya dengan kebesaran ALLAH. Kita bukan sekadar "eh, cantiknya awan", atau "wow, pelangi!", tetapi mengaitkannya dengan penciptaan ALLAH dengan kejadian kita sebagai manusia. Antaranya, sebagaimana kita dapat melihat air hujan yang turun dari langit boleh menyuburkan tanah yang tandus, begitulah wahyu yang turun dari langit dapat menyuburkan hati-hari manusia. Dalam keadaan berfikir sebegitu, masihkah lagi seseorang itu akan menunggang motorsikal dalam keadaan berbahaya, dan tidak menghiraukan keselamatan diri? Orang selalu kaitkan penunggang motorsikal dengan Mat Rempit, macam berdosa sangat je bawak motorsikal. Pasti ke mereka yang berkata itu bahawa individu yang diperkatakan itu memang betul-betul Mat Rempit? Mereka tahu ke "Mat Rempit" tu menyanyi ke berzikir sewaktu menunggang motorsikal? Kalau tanya daripada pengalaman sendiri, lebih banyak saya menunggang motorsikal, lebih banyak hati mengingati ALLAH dan lebih banyak bibir menyebut nama ALLAH. Memang tidak ada siapa pun mahu kemalangan, tetapi pada saya andai ditakdirkan mati di jalan pun sekurang-kurangnya dalam keadaan bibir menyebut nama ALLAH. Ingat tak kejadian pesawat terhempas di Elmina, yang antara mangsanya adalah seseorang yang sedang motorsikal, dan saksi memberitahu sempat terdengar laungan ALLAH dari penunggang motorsikal tersebut. Ya, Mat Rempit dah tentu-tentu penunggang motorsikal, tapi penunggang motorsikal tidak semestinya Mat Rempit. Merdekakanlah diri ketidakbijaksanaan menilai. Aku bukan Mat Rempit! 
Wanita dalam kisah Mat Rempit juga sering digambarkan dengan pakaian yang menjolok mata, mengada-ngada, dan tidak bermaruah. Aku menunggang motorsikal dengan pakaian yang kupastikan benar-benar meniaga auratku. Aku pernah disapa oleh seorang cikgu lelaki dan selepas mengetahui tentang aku sedang dalam kembaraku, katanya "saya tak pelik kalau awak jenis wanita yang tomboi, yang ala-ala lelaki, tapi saya kagum bila Muslimah macam awak yang melakukannya", sedangkan pada waktu tersebut saya bukannya memakai baju kurung atau jubah. T-shirt Muslimah pun bukan. Sekadar pakaian biasa tetapi menutup aurat, namun yang bijak menilai boleh "nampak". Hakikatnya pernah berapa kali juga saya bermotosikal dengan mengenakan baju kurung, jubah, dan gaun. Pelakon Lisdawati baru-baru ini tukar apabila menunggang motorsikal dengan pakaian yang menutup aurat sewaktu dalam perjalanan menuju ke perhimpunan RXZ. Kenapa mesti sinonimkan wanita yang membawa motorsikal dengan pakaian yang ketat? Aku bukan Mat Rempit! Merdekakanlah diri tu daripada fikiran yang sempit.  
Yang pandai-pandai menggelar tu tidak seramkah andai tersalah gelar bagaimana mahu mencari yang dituduh untuk meminta maaf, sedangkan dosa sesama manusia perlu diselesaikan sesama manusia. Merdekakanlah diri dari mudah melabel orang. Kita tidak tahu di mana, bila, dan bagaimana ajal seseorang, ajal kita juga. Merdekakanlah diri dari fikiran-fikiran negatif. Merdekakanlah diri dari memburukkan orang tanpa sedar itu pantulan diri...